Saturday, August 14, 2010

JURNAL REFLEKSI : MINGGU 5

Assalamualaikum……

Kuliah pada minggu ini telah masuk ke minggu kelima. Seperti minggu – minggu yang lepas kelas seperti biasa diadakan di bilik brassband. Tetapi pada minggu ini kelas menjadi tambah menarik dengan adanya sedikit tambahan pengajaran seperti melawat bilik gamelan serta bermain alat – alat gamelan. walaupun saya telah mengambil subjek gamelan dan caklempong ini, tetapi terdapat banyak pengetahuan yang belum saya ketahui. Melalui pensyarah kami iaitu En Amran beliau telah mendedahkan lebih banyak istilah-istilah yang saya tidak tahu sebelum kelas minggu kelima. Pada minggu kelima, kita mempelajari gamelan dan caklempong. Sasaran minggu ini adalah sejarah dan jenis-jenis gamelan, alat muzik gamelan, sistem tonal, melodi, bentuk, dan tekstur dalam gamelan dan caklempong pula adalah sejarah caklempong, alat caklempong dan sistem tonal, melodi, irama dan bentuk.

Saya difahamkan bahawa perkataan 'Gamelan' berasal dari bahasa Jawa yang bermaksud dipukul . ini kerana kesemua alat – alat di dalam permainan gamelan adalah dimain secara dipukul atau dipalu. Terdapat gamelan yang diperbuat dari perunggu iaitu gangsa dan kayu, dan ada juga dari besi dan buluh. Alat-alat gamelan mempunyai larasan yang tetap iaitu 'fixed tuning'.

Sebernaya terdapat 2 jenis bentuk gamelan, gamelan pertama di panggil gamelan Melayu dan gamelan kedua adalah gamelan Jawa. Kedua – dua jenis gamelan ini telah dikategorikan didalam bentuk muzik tarian utama. Gamelan melayu juga disebut sebagai gamelan Terengganu dan lebih dikenali sebagai Joget gamelan. Kewujudan gamelan melayu adalah bermula di Istana Riau Lingga pada abad ke-18. Ianya berlaku selepas ikatan perkahwinan di antara keluarga Di Raja Riau dengan keluarga Bendahara dari Negeri Pahang. Pada awal abad ke-20, gamelan Melayu telah berpindah ke Istana Terengganu,sebagai meraikan majlis perkahwinan diantara Sultan Sulaiman dari Terengganu dengan Tengku Mariam dari negeri Pahang. tercetusnya nama gamelan melayu Terengganu ini adalah kerana Tengku Mariam begitu meminati muzik gamelan ini dan membawa gamelan dari Pahang ke Terengganu dan disinilah bermula identiti Muzik Gamelan Melayu dan Jawa dipisahkan melalui penciptaan lagu baru dan sistem tuning, instrumentasi dan melodi. Set Gamelan Terengganu mengandungi tujuh alat iaitu gendang, bonang ataupun keromong, saron barung, saron peking, gambang, kenong, dan gong. Sistem melodi, bentuk, irama dan struktur boleh dirujuk dalam.

Manakala gamelan Jawa pula berasal dari Pulau Jawa Tengah. Set alat muzik gamelan jawa ini diperbuat daripada gangsa. Selain daripada diperbuat dari gangsa terdapat alat muzik kordofon, aerofon dan membranofon berserta dengan penyanyi lelaki dan perempuan. Muzik Gamelan Jawa digunakan untuk mengiringi tarian seperti Tarian Kifrah, Serimpi Lilin dan sebagainya. Gamelan Jawa turut digunakan untuk megiring kuda kepang, Barungan dan Riog. Gamelan Jawa juga dipersembahkan dalam majlis berkhatan dan perkahwinan. Gamelan Jawa/Johor adalah lebih kompleks berbanding dengan Gamelan Melayu kerana mengandungi sembilan alat gendang termasuk ketipung, jiblon, dan bem, bonang/keromong, demung, saron barung, saron penerus/peking, gambang, kenong, kempol dan gong.
Gamelan mempunyai tekstur polifoni iaitu terdiri daripada dua atau lebih lapisan suara. Ciri utama muzik gamelan adalah bentuknya yang berulang dan setiap frasa diulang muziknya dan bergerak dalam bulatan. Permainan gamelan memerlukan semangat kerjasama yang kuat agar memainkan sesebuah lagu dengan tempo yang sama.

Caklempong
Caklempong juga turut dikenali sebagai telempong, tak lempong, ataupun talempong. Muzik Caklempong ini sebenarnya berasal dari Negeri Sembilan yang merujuk kepada kaum minangkabau dan muzik caklempong ini turut mengiringi tarian lilin, nyanyian, pencak silat, perkahwinan dan keramaian. Di negeri Sembilan muzik caklempong ini di lihat di beberapa daerah seperti di daerah Lenggeng, Kuala Pilah dan Jelebu. Alat muzik caklempong adalah bonang, gereteh, tingkah, sauwa/saua, gendang ibu dan anak, bangsi,serunai serta paciak. Alat seperti boning, bangsi, serunai dan paciak merupakan alat tambahan didalan muzik caklempong ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 AMIRUL Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template